Piya akhiri kemarau jaringan

Piya

KOTA BHARU – Penyandang juara, The Red Warriors sekadar mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas PKNS FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Kemenangan tersebut bagaimanapun dianggap masih belum selesa buat skuad kendalian Steve Darby kerana mereka bakal mengharungi baki tempoh 90 minit penuh mendebarkan dalam aksi timbal balas kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pada 18 Februari ini.

Biar pun sekadar menang tipis, namun yang pastinya perubahan taktikal daripada 3-5-2 kepada 4-4-2 yang diterapkan pengendali dari England itu berjaya mengubah corak permainan Kelantan, sambil memastikan misi balas dendam ke atas pasukan berstatus kelab itu tercapai pada perlawanan malam tadi.

Kelantan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk berada di depan apabila Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi memanfaatkan situasi bola mati menerusi sepakan bebasnya yang mengenai tiang gol sebelah kanan untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Remezey Che Ros seawal minit ketiga.

Ini merupakan gol sulung peribadi Mohd Badhri dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, sekali gus beliau berjaya menamatkan kemarau jaringan setelah beraksi selama 450 minit perlawanan sebelum ini.

PKNS FC yang tersentak dengan jaringan tersebut bangkit mengatur gerakan namun rembatan susulan Patrick Ronaldinho Wleh berpunca sepakan penjuru Muhammad Nazmi Faiz Mansor dua minit kemudian serong di sebelah kanan gawang.

Dua minit kemudian, Kelantan hampir menjarakkan kedudukan apabila Mohd Badhri bijak melambungkan bola ke dalam kotak penalti PKNS FC namun Ahmad Fakri Saarani terlepas peluang untuk menewaskan Mohd Remezey.

Anak buah Wan Jamak Wan Hassan kembali menemui rentak permainan selepas itu apabila rangkaian jentera tengah mereka yang diterajui Mohd Fauzan dan Muhammad Nazmi Faiz bijak memanipulasikan kelemahan enjin tengah tuan rumah.

Menuju minit ke-12, giliran pelawat pula mencemaskan gawang Kelantan kali ini menerusi sepakan percuma yang diambil Ketua Pasukannya, Mohd Fauzan Dzulkifli, namun bola tandukan tepat Ronaldinho Wleh diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.

Empat minit kemudian, Khairul Fahmi sekali lagi diuji menerusi serangan balas apabila Karlo Primorac memperdayakan Mohd Farisham Ismail di dalam kotak penalti namun rembatannya yang membias pertahanan tuan rumah itu berjaya ditepis keluar penjaga gawang kebangsaan.

Kesungguhan skuad yang terkenal dengan jolokan Red Ants untuk mengikat kedudukan akhirnya membuahkan hasil apabila Ronaldinho Wleh berjaya menolak masuk gol untuk pasukannya berpunca situasi kelam-kabut di depan pintu gol tuan rumah pada minit ke-20.

Aksi permainan selepas itu menjadi milik Kelantan namun dua peluang terbaik dimiliki mereka pada minit ke-36 gagal menghasilkan jaringan apabila rembatan Mohamed Shawky Aly meliar tinggi disusuli percubaan Mohamad Ghaddar dua minit berselang diselamatkan Mohd Remezey.

Penjaga gawang PKNS FC itu sekali lagi menggagalkan peluang keemasan tuan rumah apabila pantas menangkap kemas bola tampanan Ahmad Fakri berpunca lontaran ke dalam dilakukan Zairul Fitree Ishak pada minit ke-41.

Mohd Remezey akhirnya tertewas juga seminit selepas itu apabila gagal menangkap kemas percubaan Mohamad Ghaddar sebelum Tengku Hasbullah Raja Hassan melakukan tindakan susulan untuk memastikan Kelantan mendahului 2-1 pada babak pertama.

Memasuki babak kedua, pelawat menampilkan kesungguhan untuk menyamakan kedudukan namun dua percubaan mereka menerusi Mohd Fauzan dan Muhammad Nazmi Faiz pada minit ke-49 dan 52 dinafikan Khairul Fahmi.

Tuan rumah kembali membalas serangan seminit kemudian apabila lorongan Mohd Badhri tepat kepada Ahmad Fakri tetapi rembatannya tersasar jauh sebelum penyerang kebangsaan sekali lagi kecewa gagal menampan masuk hantaran silang Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-55.

Kelantan terus ghairah memburu gol ketika PKNS FC terpaksa mengeluarkan Karlo Primorac pada minit ke-62 setelah gagal memberi sumbangan berkesan tetapi Tengku Hasbullah mensia-siakan peluang terhidang dengan merembat serong ke sebelah kanan pada minit ke-69.

Ketiadaan Primorac, bekas penjaring terbanyak Liga Premier musim lalu memberi kesan apabila PKNS FC lebih banyak bermain secara bertahan sambil kelibat penyerang Liberia, Ronaldinho Wleh pula keseorangan menerajui jentera serangan.

Akhirnya, gol ketiga tuan rumah menjelma pada minit ke-75 apabila Ahmad Shakir yang masuk menggantikan Tengku Hasbullah dua minit sebelum itu menyempurnakan umpanan cantik Mohd Badhri menerusi rembatan rendah untuk menewaskan Mohd Remezey di pintu golnya.

Sentuhan pertama Francis Forkey Doe yang masuk menggantikan Mohamad Ghaddar hampir meletakkan Kelantan terus selesa pada minit ke-78 namun rembatannya hasil umpanan Mohamed Shawky Aly tinggi melewati palang.

Begitu pun, tujuh minit sebelum perlawanan, PKNS FC akhirnya berjaya merapatkan kedudukan 2-3 apabila pemain importnya, Kim Dongchan merembat masuk gol kedua mereka berpunca hantaran lintang Muhammad Khairu Azrin Khazali di luar kotak penalti.

Dongchan, pemain import dari Korea Selatan hampir mengikat keputusan seri namun rembatannya hasil lorongan Ronaldinho Wleh dalam masa kecederaan berjaya diselamatkan Khairul Fahmi untuk kedudukan 3-2 kekal pada perlawanan malam tadi
.-sumber
Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan