Bakar suar tanda protes FAM



KUALA LUMPUR - Kekecohan selama lapan minit semasa perlawanan persahabatan Malaysia dan Filipina di Stadium Selayang, Sabtu lalu merupakan satu mesej yang jelas buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mereka jangan segan silu mengaku kelemahan dalam mentadbir bola sepak negara selama 30 tahun

Kumpulan penyokong tegar skuad negara, Ultras Malaya mendakwa penyokong yang menyalakan suar ketika perlawanan itu bukan berniat untuk mengganggu perlawanan sebaliknya melakukannya bagi memberi mesej kepada FAM supaya bangun daripada lena yang panjang dan memajukan sukan itu.
Menurut wakil kumpulan yang mahu dikenali sebagai Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ), Alfadli Awaluddin, sekiranya tiada perubahan drastik daripada FAM, protes yang dilakukan akan berterusan demi memartabatkan bola sepak negara.

"FAM jangan terlalu ego sangat untuk menyedari diri mereka itu bersalah, sudah sampai masa mereka ubah mentaliti dan buka mata seluas-luasnya apa yang mereka lakukan selama ini.
"Sepanjang 30 tahun ini, bola sepak negara kita sudah jahanam, pasukan kebangsaan kita tiada visi dan misi yang jelas dan ke mana haluan mereka yang sebenar, semua perkara ini membuatkan para peminat tertanya-tanya.

"Apa yang penyokong Ultras Malaya lakukan semasa di Selayang adalah demi memastikan masa depan bola sepak negara terjamin buat anak dan cucu kita, perubahannya mesti dilakukan dari sekarang jika hendak melihat sukan nombor satu negara kita ini kembali menggegar dalam tempoh sepuluh tahun lagi.
"Sistem Liga Malaysia kita begitu caca marba dan segala-galanya bermasalah dan protes yang dilakukan semasa perlawanan antara Malaysia dan Filipina adalah kemuncak kemarahan kami mewakili semua peminat bola sepak negara yang dahagakan angin perubahan di dalam FAM, " katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Alfadli, sudah tiga perjumpaan tidak rasmi dilakukan oleh pihak Ultras dengan FAM namun sehingga kini tiada sebarang hasil yang diharapkan berlaku, malah dipandang sepi terhadap segala cadangan dan idea yang mereka berikan tiap kali pertemuan berkenaan.

"Hendak kata FAM ini tidak efisien buat kerja, tidak boleh juga kerana sebaik sahaja insiden pergaduhan membabitkan penyokong Pahang dan Johor DT, tidak sampai beberapa minggu sahaja kempen Love Football, Stop Hooliganism telah dilancarkan.
"Ini membuktikan mereka boleh buat, sama ada hendak atau tidak. Banyak idea kami berikan kepada pihak FAM seperti pengasingan penyokong yang membawa panji-panji ke zon berlainan dan kami diberitahu mereka akan bawa perkara itu ke dalam mesyuarat tetapi itu hanya janji manis," katanya.-sumber

Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan