Sikap degil Shawky pacu kejayaan TRW

BEKAS pemain Middlesbrough, Mohamed Shawky yang kini merupakan pemain import Kelantan mula mempamerkan sikap degil apabila melanggar peraturan doktor yang menasihatinya berehat dan tidak beraksi sekurang-kurangnya tiga minggu bagi memastikan kecederaannya sembuh.

Namun sikap itu berbaloi apabila pemain berusia 32 tahun yang masuk separuh masa kedua menggantikan Tengku Hasbullah Raja Hassan menentang PKNS, malam kelmarin berjaya membantu pasukan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, mengikut arahan doktor perubatan, pemain tersebut tidak dibenarkan beraksi sekurang-kurangnya tiga minggu bagi memastikan kecederaan dialaminya sembuh.

“Doktor melarangnya, namun dia degil malah minta izin daripada pengurusan untuk beraksi bantu rakan-rakan memastikan kemaraan Piala FA , saya lihat semangat dan keazaman dimilikinya begitu berkualiti walaupun percaya sedang menahan kesakitan.

"Ternyata kemasukannya banyak membantu pasukan terutamanya di bahagian tengah untuk mengekang asakan lawan selain Shawky turut membantu jentera serangan,” katanya.

Annuar turut memuji barisan pemain lain yang mempamerkan semangat juang apabila bangkit daripada ketinggalan untuk memastikan sasaran mempertahankan Piala FA.

“Pada awalnya sebelum masuk padang, sedikit kebimbangan melanda pasukan apabila empat pemain utama tidak dapat disenaraikan atas sebab kecederaan, namun kita perlu teruskan kerana inilah bola sepak dan pemain yang dipertanggungjawabkan berjaya melakukannya.

“Ketinggalan pada awal permainan, pemain tidak berputus asa serta melancarkan serangan  dan mereka berjaya membuktikannya dengan keputusan 3-3 yang dicatat malam ini (kelmarin) yang membolehkan Kelantan mara ke peringkat separuh akhir dengan agregat 6-5 selepas menewaskan lawan pada suku akhir pertama di Kota Bharu minggu lalu.

“Semangat seumpama ini perlu diteruskan bagi perlawanan akan datang selain sokongan peminat TRW yang tak pernah jemu bermula wisel permulaan memang tidak dinafikan menaikkan semangat pemain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Steve Darby menyifatkan anak didiknya beraksi sebagaimana perancangan bagi memastikan kemaraan.

“Dalam bola sepak profesional, pemain yang dapat melakukan tugas dengan berkesan sebagaimana diarahkan pasti membantu kejayaan pasukan dan kita lihat malam ini (kelmarin) kita berjaya melakukannya.

“PKNS memiliki jurulatih dan pemain berkualiti namun kemenangan malam ini memang milik TRW,” katanya
-sumber
Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan