Apek dan filem TRWTM



PERNAH menyatakan pendirian tidak akan berada dalam dunia lakonan, baru-baru ini penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat, 24, atau Apek membuat kejutan apabila bersetuju untuk menyertai filem The Red Warriors The Movie.
Ditanya perasaannya untuk terbabit dalam filem tersebut, menurut Apek tiada apa yang perlu dirisaukan memandangkan dalam filem tersebut dia hanya perlu menjadi dirinya.
"Saya hanya perlu menjadi diri saya sendiri, maksudnya saya hanya perlu jadi pemain bola sepak.
"Jadi bukanlah berlakon, seperti yang saya katakan sebelum ini saya memang tidak mahu berada dalam dunia lakonan," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar The Red Warriors The Movie di Petaling Jaya baru-baru ini.
Tidak melihat penglibatannya dalam filem itu akan menganggu tumpuan atas padang, menurut Apek, dia sebenarnya lebih teruja untuk bergelar seorang ayah tidak lama lagi.
Apek yang bernikah dengan isterinya Nur Eilunie Natasha Jaafar, 22, tahun lalu memberitahu kandungan isterinya itu sudah masuk lapan bulan.
"Memang teruja sebenarnya untuk bergelar seorang ayah. Buat masa ini memang keluarga mertua banyak membantu kami, ialah anak pertama," katanya ketawa.
Berkongsi saat indah itu menerusi laman Instagram, menurut Apek dia sebenarnya lebih rela berhubung dengan peminatnya melalui laman sosial. Tidak akan meletakkan kelahiran anaknya nanti dalam situasi yang eksklusif, bagi Apek peminat berhak untuk melihat gambar anaknya.
"Saya memang suka berkongsi dengan peminat. Kalau tidak ada apa-apa, hari pertama anak saya lahir nanti juga saya akan kongsikan.
"Buat masa ini memang saya tidak merancang untuk menyiarkan gambar anak saya secara eksklusif di saluran lain," katanya.
Bagaimanapun menjawab kata-kata peminat yang membuat andaian dia dan isterinya bersikap menunjuk-nunjuk, Apek dengan tenang memberitahu itu hanya perkongsian jadual hariannya bersama isteri.
Walaupun ada antara gambar di laman Instagram menunjukkan Apek dan isteri sedang membeli belah keperluan untuk anak sulung mereka ia sebenarnya lebih kepada keterujaan mereka untuk bergelar ibu bapa.
"Saya tidak ada niat menunjuk-nunjuk sebenarnya, mungkin itu cara saya dan isteri mahu berkongsi perasaan gembira kami.
"Bukannya saya membeli belah barangan bayi yang mahal-mahal. Bagi kami apa yang lebih penting adalah kegembiraan untuk menerima kehadiran ahli baharu keluarga kami," katanya.




© Utusan Melayu (M) Bhd 
Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan