TRW pada landasan tepat

TRW pada landasan tepat

SELEPAS menggunakan formasi asal 4-4-2 dalam dua perlawanan terakhir, The Red Warriors sudah mula mendabik dada betapa mereka bukan lagi pasukan mudah diperbudakkan.  

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim mengakui persembahan barisan pemainnya sudah menunjukkan peningkatan sekali gus membayangkan pasukannya kini berada pada landasan tepat untuk kembali bersaing memburu trofi kejuaraan liga domestik itu.

Malah pengurus berusia 54 tahun itu ada sebab untuk mengukir senyuman sesudah melihat pasukannya mudah membenam T-Team 3-0 pada aksi Liga Super di Kota Bharu, malam kelmarin,  satu keputusan positif yang berupaya mengembalikan semula keyakinan penyokong setia mereka.

“Saya bersyukur kerana malam ini kita tengok barisan pemain Kelantan semakin baik dari segi persefahaman. Macam Khairul Fahmi Che Mat sudah kembali kepada prestasi asal dan tonggak pertahanan, Mohd Farisham Ismail, bijak mengekang asakan pemain T-Team.

“Sebelum ini ramai memperlekeh pasukan Kelantan, setelah kita hilang sembilan tonggak utama. Tetapi dengan adanya pemain seperti Ahmad Shakir Md Ali dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang menggisi kekosongan tersebut, saya cukup lega kerana Kelantan kini sedikit demi sedikit mencapai prestasi sebenar,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan.

Pada aksi tersebut, Kelantan mudah membenam T-Team 3-0 menerusi jaringan Mohamed Shawky Aly pada minit ke-32 dan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi (m-44) sebelum Mohamad Ghaddar menambah luka pasukan berstatus kelab itu enam minit sebelum perlawanan berakhir.

Perubahan taktikal dilakukan Ketua Jurulatih, Steve Darby terbukti memberi kebebasan kepada anak buahnya ‘bermain bola sepenuh hati’ dan pengendali dari England itu mungkin boleh berkira-kira untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sistem 3-5-2 yang tidak lagi relevan buat gergasi pantai timur itu.

“Saya perhatikan Kecik (Wan Zaharulnizam) mempamerkan aksi cemerlang membawa masuk bola ke kawasan lawan. Sebelum ini, jarang kita dapat lihat dia melakukannya dan saya fikir itu adalah keselesaan baginya beraksi di kedua-dua posisi sayap,” katanya
.-sumber
Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan