Erin Malek tidak suka kontroversi





SUATU ketika dulu, nama Erin Malek atau nama sebenarnya, Nur’Arina Abdul Malek, pernah menjadi perhatian ramai.

Dalam usia yang masih hijau, Erin mampu menghayati apa sahaja watak yang diberikan kepadanya.

Namun, seiring pertambahan usianya, Erin tidak lagi menjadi perhatian kerana keberkesanan lakonannya, sebaliknya kisah kontroversi yang mula menjengah satu persatu.

Dek kerana ‘kelalaiannya’ itulah, kanvas putih yang dibawa Erin ke dalam industri seni, mula berubah warna sedikit demi sedikit, pendek kata, reda sahaja satu kontroversi, nama Erin kembali terpalit dengan kontroversi baharu.

Sehinggakan ada pihak sanggup melemparkan fitnah bahawa gadis yang baru menginjak ke usia 19 tahun ini mengambil benda terlarang pada usia muda.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, tiada lagi kedengaran kisah negatifnya.

Peluang bertemu dengan gadis yang mula mencipta nama menerusi filem Tentang Bulan ini pada tayangan filem terbaru lakonannya, Cinderella, baru-baru ini, digunakan Zass untuk bertanya mengenai perkembangannya.

“Bukan senang sebenarnya untuk buat orang suka pada kita. Tetapi sejujurnya, Erin tidak mahu ada cerita kontroversi yang mengiringi kerjaya Erin.

“Erin sudah letak segala cerita kontroversi ke tepi, dan mahu memberi tumpuan kepada karier Erin. Kalau boleh selepas ini jika orang bercerita tentang Erin, biarlah berkaitan kerja sahaja,” ujarnya penuh sopan.
 
Suka watak antagonis

Berkongsi mengenai wataknya dalam filem Cinderella, Erin berkata, ini adalah kali ketujuh dia bekerja di bawah pengarah tersohor, Ahmad Idham.

Memegang watak antagonis sebagai Farah, akui Erin, dia sememangnya lebih selesa dan gemar membawakan watak yang gelap, biarpun berdepan kemungkinan dibenci penonton.

“Sebenarnya Erin tidaklah memilih untuk menjayakan watak antagonis sahaja. Tetapi  bergantung juga pada tawaran dan rezeki. Kalau ikutkan ada juga Erin jayakan watak kelakar dan romantik.

“Cuma sejujurnya Erin lebih suka watak antagonis. Iyalah, siapa yang tak suka dengan watak marah-marah orang ni (ketawa). Apa pun Erin rasa sangat bertuah terlibat dengan pembikinan filem ini dan amat kagum dengan lakonan Nellydia, apatah lagi adalah filem pertamanya dan watak Nurul itu sangat berat,” katanya.

Erin berkata, selain Cinderella, filem lakonannya, Awak Nak Kawin Dengan Saya? turut akan disiarkan tidak lama lagi.

Selain itu, dia juga bakal muncul menerusi program Fear Factor, dan juga drama Jeritan Batinku.-sinar harian.
Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan