Mohamed Shawky rai jaringan bersama Nwaneri sekali gus memastikan Kelantan mengatasi ATM 1-0 pada aksi terakhir pusingan pertama Liga Super di Kota Bharu, malam kelmarin
Biar pun meraih tiga mata penuh, namun Darby sedikit kecewa setelah anak buahnya gagal memanfaatkan deretan peluang terhidang dan hanya jaringan tunggal Mohamed Shawky Aly berjaya memisahkan untuk kemenangan mutlak memihak pasukannya dalam perlawanan tersebut.
“Dalam babak pertama, saya fikir Kelantan boleh mendahului 5-1. Itu sesuatu yang realistik berdasarkan peluang dicipta pemain kami. Tak kisahlah taktik apa sekali pun digunakan, apabila anda melepaskan peluang (menjaringkan gol), anda tidak boleh menang.
“Akhirnya kami hanya menjaringkan satu gol. Kami ada 10 percubaan ke gawang berbanding ATM hanya tiga. Kami ada peluang tetapi gagal disempurnakan. Anda memerlukan penyerang yang boleh menjaringkan gol, itu sahaja prinsip dalam bola sepak,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Apa pun keputusannya, Darby harus mengucapkan terima kasih kepada pemain import kelahiran Mesir itu, kalau tidak kerana jaringannya pada minit ke-60, sudah pasti pengendali berusia 59 tahun itu terus berdepan kecaman penyokong mereka sendiri.
“Saya tetap gembira dengan kemenangan ini, anda juga kena merasakan perkara sama kerana dalam bola sepak profesional, kita sememangnya kena menang. Tak kiralah kita bermain teruk sekali pun, mereka (pemain) sudah bekerja keras dan memperjudikan nasib dalam perlawanan ini,” katanya,
Di sebalik kemenangan tipis ke atas skuad kendalian B Satiananthan, bekas penolong jurulatih Thailand musim 2008 itu bagaimana pun tidak mahu ketinggalan untuk menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya yang mempamerkan semangat juang tinggi dalam perlawanan tersebut.
“Sekali lagi kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pemain di atas usaha gigih mereka malam ini (malam kelmarin). Lihatlah Obinna Nwaneri, berbalut di kepala tetapi dia tetap mahu beraksi sementara Mohamed Shawky pula seumpama berlari sejauh 48 kilometer dalam perlawanan ini,” katanya.-sumber
0 ulasan:
Catat Ulasan