Pemain import TRW tak ada kelas - Piya


PEMAIN import yang longlai. Demikian luah kapten pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi selepas melihat pasukannya dikecewakan Felda United pada aksi kedua separuh akhir Piala FA apabila mereka gagal melangkah ke perlawanan akhir ekoran peraturan gol di tempat lawan.
Menurutnya, musim 2014 adalah cukup sukar buat Kelantan kerana kehilangan ramai pemain selain pengambilan pemain import yang disifatkan sebagai 'tersalah pilih' kerana tahap permainan yang dipamerkan tidak setimpal berbanding reputasi mereka sebagai pemain luar.
"Ia sesuatu yang menghampakan kerana kita gagal ke perlawanan akhir untuk mempertahankan dua kejuaraan yang dimenangi sebelum ini. Saya kecewa dan saya lebih kecewa apabila dua pemain import yang beraksi pada malam tersebut langsung tidak memberi impak.
"Mereka setaraf dengan pemain tempatan malah, saya berani untuk mengatakan bahawa ada beberapa pemain tempatan yang bermain dengan lebih baik dan lebih bagus daripada mereka. Sepatutnya mereka kena memberikan dua kali ganda lebih baik daripada pemain tempatan tetapi itu tidak berlaku," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, pemilihan pemain berusia 26 tahun, Hussein Alaa Hussein dari Iraq menggantikan Obinna Nwaneri di benteng pertahanan dianggap percaturan yang kurang bijak kerana pemain tersebut dilihat terus gagal menyesuaikan diri selain, gagal mengemudi pemain pertahanan lain.
Pada perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu, Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 3-3 dan aksi kedua di Shah Alam menyaksikan Felda United sekali lagi berjaya mengikat Kelantan dengan keputusan 2-2 seterusnya layak ke perlawanan akhir menentang Pahang dengan peraturan gol di tempat lawan.
Sementara itu, Mohd. Badhri berkata, kekecewaan rakan sepasukan terhadap kredibiliti dan kualiti yang ada pada pemain import sudah dipanjangkan kepada pihak pengurusan dan berharap ia akan dinilai dengan lebih serius demi memastikan kegemilangan bola sepak Kelantan berterusan.
"Mungkin tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi kerana pendaftaran pemain sudahpun ditutup untuk musim ini, apa yang perlu adalah memberi fokus kepada baki lima perlawanan terakhir Liga Super. Mungkin agak mustahil untuk mendapat mata penuh daripada semua perlawanan itu kerana kita berdepan pasukan yang hebat namun, kita berharap mampu untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik.
"Saya fikir untuk memberikan yang terbaik pada aksi Piala Malaysia nanti, pasukan ini perlu melakukan perubahan dan bekerja keras. Pemain import perlu membuktikan mereka mempunyai kaliber sesuai dengan taraf mereka sebagai pemain import yang dibayar lebih lumayan berbanding pemain tempatan," ujarnya.- credit Brsam-sumber


Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan