Troussier penganti Raja Gopal?



KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengesahkan jurulatih dari Perancis, Philippe Omar Troussier merupakan antara calon dari Eropah yang terhampir dipertimbangkan untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.
Beliau mengakui hanya keadaan kewangan semasa FAM yang menghalang pengambilan segera ‘White Witch Doctor’ berusia 58 tahun itu sekali gus memaksa persatuan meninjau terlebih dulu kalau-kalau terdapat sumber penajaan yang mampu menampung kos pembayaran gaji bulanannya.
“Buat masa ini Troussier dan dua tiga nama calon (jurulatih skuad kebangsaan Malaysia) dari Eropah. Ada juga faktor lain dan bukan gaji sahaja (pertimbangan untuk melantik Troussier) tetapi kalau mengikut keadaan (kewangan FAM) sekarang, kena cari sumber lain (penaja)," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Troussier sebelum ini dikatakan menuntut gaji bulanan lebih RM416,000 - angka yang dianggap setimpal dengan pencapaian terbaiknya yang pernah membawa Jepun ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 dan menjulang Piala Asia 2000 selain naib juara Kejohanan Belia Dunia 1999 serta Piala Gabungan FIFA 2001.
Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM pada 24 November lalu yang memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Datuk K. Rajagobal sebagai jurulatih negara selepas Selasa ini, turut menyebut tentang pengambilan warga asing sebagai penggantinya selain mengumumkan Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya.
Tengku Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi Exco, Teknikal dan Pembangunan Belia FAM, turut tidak menolak kemungkinan persatuan terpaksa beralih kepada calon alternatif (selain Troussier) sekiranya cuma mempunyai kemampuan belanjawan yang terhad dan sukar ditampung dengan sumber lain.
“Kami mungkin cari (calon) alternatif. Nama (tiga calon lain) tidak boleh saya dedahkan kerana masih perlu melalui (mesyuarat) Exco terlebih dulu. Tunggulah juga kata putus Presiden (FAM, ayahanda - Sultan Ahmad Shah) dan apabila kami setuju lantik (jurulatih baharu skuad negara), barulah boleh umum," katanya.
Laporan terdahulu media menamakan bekas penolong jurulatih Liverpool, Alex Miller dari Scotland, bekas jurulatih India, Bobby Houghton (England) dan Radojko Avramovic (Serbia) selain ketua pasukan juara Piala Dunia Perancis 1998, Marcel Desailly, sebagai antara bakal pengganti Rajagobal di kerusi panas FAM itu.
Sebagai rekod, mendiang Bertalan Bicskei dari Hungary, merupakan warga asing terakhir yang dilantik FAM untuk mengendalikan skuad Malaysia dari 2004 hingga 2005 dan sebelumnya ialah Alan John Harris (England), Hatem Souissi (Tunisia) dan seorang lagi warga Perancis, Claude Le Roy.
Namun, Tengku Abdullah turut menganggap seelok-eloknya jurulatih tetap negara dapat dilantik secepat mungkin menjelang pertemuan hidup mati Harimau Malaya pada perlawanan terakhirnya dalam Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen, 5 Mac ini.
Skuad negara wajib menang di gelanggang lawan sambil berharapkan pencapaian keseluruhannya lebih baik daripada pasukan tempat ketiga Kumpulan A, B, C dan E untuk meraih tiket ke pusingan akhir di Australia (kali terakhir layak kejohanan ini pada 1980).




© Utusan Melayu (M) Bhd 
Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan