Nisha Dirr,bakal Kahwin hujung tahun


BIBIT perkenalan bermula di set penggambaran tiga tahun lalu akhirnya dimeterai dengan tali pertunangan yang diikat selama setahun antara dramatis Nisha Dirr, 31, dan pasangannya, Edi Khushairy Ab. Kadir, 34.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Ahad lalu, majlis pertunangan tersebut diadakan dalam suasana serba sederhana tetapi meriah dengan kehadiran ahli keluarga dan sanak-saudara dari kedua-dua belah pihak serta warga media.
Mengenakan busana anggun berona biru firus rekaan Butik Fesyen Mida’R, Nisha atau nama sebenarnya, Nik Shahriah Nik Dir, disarungkan cincin oleh bakal mentua, Datin Norizan Abdul Manaf, selain menerima lima dulang hantaran yang terdiri daripada, manisan, telekung, sejadah, biskut dan juga sepasang kain.
Manakala Nisha pula membalas sebanyak tujuh dulang hantaran buat Edi yang berupa sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, sepasang kain, kek, buah-buahan, sekotak kurma dan sirih junjung.
Mengulas lanjut mengenai pilihan hatinya, Edi yang merupakan ahli perniagaan itu dikenalinya sejak tiga tahun lalu ketika jejaka itu singgah di lokasi penggambaran drama lakonannya untuk berjumpa dengan pengarah yang juga rakannya.
"Masa itu dia datang di set penggambaran untuk bertemu dengan rakannya yang juga pengarah sebuah drama yang saya bintangi. Kemudian, pengarah tersebut memperkenalkan dia kepada saya dan sejak itu, kami saling berhubungan.
"Dalam tak sedar, tiga bulan berlalu dan hubungan kami semakin rapat. Pada ketika itulah saya dapat rasakan yang Edi adalah pilihan tepat untuk dijadikan calon suami," katanya kepada Hits.
Jika tiada aral melintang, menurut Nisha, mahligai perkahwinannya akan dibina lebih awal dari masa yang ditetapkan atas alasan, perkara yang baik tidak perlu ditangguh lama-lama.

Bukan materialistik

Sementelah tunangannya yang berstatus seorang usahawaan dan juga anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar datuk, ia sedikit sebanyak menjadi topik perbualan sinis. Pastinya segelintir pihak melontar persepsi negatif terhadap Nisha yang menyifatkan wanita itu sebagai materialistik.
Menepis dakwaan tersebut, Nisha memberitahu, kekayaan dan status Edi bukanlah penyebab utama untuk dia jatuh hati kepada lelaki itu. Sebaliknya budi bicara yang ditunjukkan Edi ketika bergaul dengan kedua-dua orang tuanya, membuatkan dia terpikat.
Tingkah laku Edi yang budiman dan bijak dalam pergaulannya terutama apabila berhadapan dengan ibu bapa Nisha, amat memikat hati wanitanya.
"Edi seorang yang sangat merendah diri ketika berbicara tidak kira dengan sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Sikapnya yang budiman merupakan salah satu daya tarikan untuk saya mengenalinya dengan lebih mendalam ketika mula-mula berkenalan tiga tahun lalu.
"Setiap kali berjumpa, Edi melayan saya seperti mana selayaknya seorang perempuan dilayan oleh seorang lelaki. Salah faham memang ada, tetapi sekali pun dia tidak pernah meninggi suara jika bergaduh.
"Itulah antara daya tarikan yang ada pada Edi yang membuatkan saya bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dan bersedia menjadi isterinya bila tiba masanya nanti,” puji Nisha mengenai sikap Edi.
Pada masa yang sama, Nisha juga tidak menafikan bahawa seorang lelaki yang mempunyai kerjaya dan kewangan yang stabil juga adalah faktor dia memilih Edi kerana itu demi kebaikan rumah tangga mereka yang bakal dibina.

sumber
Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan