Kelantan mahu tambah derita ATM


KELANTAN tampak cukup bersedia untuk menamatkan pusingan pertama Liga Super dengan nota kemenangan apabila melayan kunjungan pasukan bermasalah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Ketua Pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi berkata, dia dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk menambah derita ATM berikutan kemerosotan prestasi yang dialami ATM dengan menewaskan skuad kendalian jurulatih pengalaman, B Satiananthan itu.

“Bagi saya, kemenangan ini bukan sahaja penting untuk membolehkan Kelantan meraih tiga mata tetapi kami mahu menamatkan badi kekalahan termasuk tewas 0-4 kepada XM Vissai Ninh Binh dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia, dua hari lalu.

“Saya tahu pertembungan Kelantan dan ATM sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini sentiasa menyajikan aksi cukup sengit. Kami mahu memanfaatkan masalah ATM yang kehilangan ramai pemain akibat kecederaan ketika ini dengan menewaskan mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bekas juara Liga Premier musim 2012 itu, bergelut dengan masalah kehilangan ramai tonggak utama setelah Amiridzwan Taj Tajudin dan K Reuben Thayaparan yang mengalami kecederaan lutut Anterior Cruciate Ligament (ACL) serta perlu berehat sehingga penghujung musim, sementara Christie Jayaseelan digantung perlawanan.

Menurut Mohd Badhri atau dikenali Piya itu, kemenangan ke atas The Gladiator amat penting bagi memastikan pasukannya mengharungi pusingan kedua minggu depan dengan lebih bermotivasi tinggi, sekali gus mengejar kedudukan terbaik dalam saingan liga.

“Kami ada sedikit kelebihan kerana bermain di gelanggang sendiri. Mereka pastinya gerun setiap kali bertandang ke Kota Bharu dan saya berharap penyokong kembali memenuhi stadium malam ini,” katanya.

Sementara itu, pengendali Kelantan, Steve Darby menagih kudrat enam pemain yang direhatkan pada kempen Piala AFC Rabu lalu termasuk Mohd Badhri, Brendan Gan, Ahmad Fakri Saarani, Khairul Fahmi Che Mat, Amar Rohidan dan bekas pemain ATM, Mohd Fitrie Omar untuk memastikan misi memulihkan maruah pasukannya di gelanggang keramat tercapai malam ini.

“Kami mengharungi perjalanan pulang dari Ninh Binh (Vietnam) hampir 18 jam. Memang pemain cukup letih dan saya berharap kehadiran enam pemain tersebut bukan sahaja dapat mengimbangi kekuatan pasukan, malah membantu kita menewaskan ATM,” katanya.

Jurulatih berusia 59 tahun yang kini berdepan kritikan hebat daripada penyokong setia Kelantan sendiri, bagaimanapun mengingatkan anak buahnya tidak memandang rendah kemampuan lawan kerana sedar gelanggang keramat mereka tidak lagi kebal setelah tewas 1-2 sebanyak dua kali di tangan PKNS FC dan Johor Darul Ta’zim sepanjang musim ini.
-sumber

Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan