Tukar pemain tak selesai masalah


"TUKAR pemain tak selesai masalah.” Itu penjelasan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim di sebalik spekulasi yang bertebaran ketika ini mengenai penyingkiran pemain importnya, Francis Forkey Doe.

Azman berkata, pihak Kafa tidak berhasrat untuk menukar mana-mana awang importnya apabila jendela pendaftaran kedua pemain asing dibuka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula 23 Mac lalu hingga 24 April depan.

“Apa-apa pun boleh berlaku kerana pendaftaran dibuka hingga pertengahan April tetapi setakat ini kita tidak akan tukar pemain import. Forkey Doe misalnya, dia pemenang Kasut Emas Liga Malaysia musim 2012 tetapi mungkin masih belum menemui rentak sebenar.

“Semua faktor kita kena ambil kira kerana tukar seseorang pemain bukan murah. Syarat FAM, kita kena batalkan permit kerja, bagi dia tiket penerbangan pulang, bayar penuh baki kontrak. Kafa tidak ada duit untuk buat benda-benda macam ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media memperkenalkan tiga pemain baharu The Red Warriors (TRW) di Kota Bharu, dua hari lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Theredwarriors.com Sdn Bhd, Kevin Ramalingam Abdullah dan Ketua Jurulatih, Steve Darby.

Menurutnya, pihak Kafa pernah melalui pengalaman tidak lama dahulu apabila menyingkirkan pemain atas desakan penyokong tetapi apa yang berlaku, pemain baharu dibawa masuk itu gagal menepati kriteria dan pihaknya juga akhirnya dipersalahkan.

“Kita perlu adil kepada semua pemain, memang saya tahu banyak komen negatif bukan hanya kepada pemain import tetapi juga pemain tempatan. Kalau setiap dua hingga tiga perlawanan, kita asyik tukar pemain memang tak ke mana pasukan kita.

“Setiap kali kalah, mangsanya ialah pemain dan jurulatih. Penat kalau kena tukar jurulatih setiap tahun. Perkara ini kita sudah lalui sejak zaman B Sathiananthan, Datuk M Karathu sehingga Bojan Hodak melatih pasukan Kelantan,” katanya.

Tambahnya, pada ketika pasukan berdepan situasi sukar, apa yang lebih penting ialah sokongan padu daripada peminat diperlukan, bukannya kata cacian yang dilemparkan ke atas pemain dan pihak pengurusan.

“Kalau peminat hendak suruh pengurusan faham, saya juga mahu mereka faham dengan keadaan kami. TRW adalah satu keluarga besar, bukan hanya pemain dan pengurusan tetapi berpuluh-puluh ribu penyokong. Jadi, janganlah merosak pasukan tetapi berilah sokongan kepada kami,” katanya.
-sumber

Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan