Kafa terima ITC Tagoe


PENYERANG Kebangsaan Ghana, Prince Tagoe akhirnya boleh tidur lena apabila majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan sudah menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dari kelab lamanya, African Club, semalam.

Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail berkata, khabar gembira tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Theredwarriors.com Sdn Bhd, Kevin Ramalingam Abdullah kepada beliau, semalam.

“Kafa secara rasmi telah memperoleh ITC Tagoe dari kelab lamanya. Insya-ALLAH, saya percaya kita tidak berdepan masalah mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengeluarkan lesen kepada pemain berkenaan.

“Jika tidak aral melintang, Tagoe bakal diturunkan buat pertama kali apabila Kelantan bertemu Perak dalam perlawanan Liga Super di Kota Bharu, Sabtu ini. Namun ia bergantung pada tahap kecergasan pemain berkenaan yang dipantau jurulatih, George Boateng,” katanya, semalam.

Rosmadi Ismail

Sinar Harian semalam, melaporkan Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang dipetik menerusi laman sosial Facebooknya memberitahu ejen pemain import berkenaan, Mohamed Mroweh mengesahkan ITC penyerang berusia 28 tahun itu telah sampai ke badan induk bola sepak kebangsaan.

Mengulas kehadiran pemain yang pernah beraksi dalam kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan itu, Rosmadi memberitahu, kemasukan Tagoe bakal memperkukuhkan jentera penggempur The Red Warriors setelah mereka bertindak menamatkan khidmat penyerang import Lubnan, Mohamad Ghaddar, bulan lalu.

“Memang sebelum ini serangan kita agak tumpul biar pun memiliki Francis Forkey Doe dan Mohamad Ghaddar. Saya berharap pemilihan Tagoe biarpun kita berdepan banyak karenah (mendapatkan ITC) menjadi jawapan tepat kepada penyelesaian ketumpulan jentera serangan.

“Sudah pasti saya mengharapkan kehadiran dia mampu memberi impak positif terutama dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini. Malah saya, optimis dia boleh menerima corak latihan diterapkan Boateng dan menjadi gandingan terbaik bersama Forkey Doe,” katanya.

Pencapaian terbaik Tagoe, pemain yang mempunyai ketinggian 1.88 meter ialah menjaringkan 18 gol dalam saingan Liga Perdana Ghana musim 2005 ketika menyarung jersi Accra Hearts of Oak Sporting Club secara pinjaman.-credit sinar harian

Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan