KAFA hanya sasar satu kejuaraan


Skuad The Red Warriors meletakan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan dalam persaingan musim ini, yang membuka tirainya pada Jumaat ini.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran itu tampak realistik bersandarkan kepada adunan pemain yang membarisi skuad The Red Warriors musim ini selain dibantu oleh kepakaran yang dimiliki oleh pengendali berpengalaman Steve Darby.
"Sejak empat tahun kebelakangan ini, Kelantan cukup sinonim dengan satu kejuaraan. Pada saya hasrat kami untuk mengekalkan atau memenangi salah satu kejuaraan yang dipertandingkan musim ini mampu direalisasikan.
"Bagi Liga Super, kami meletakkan sasaran untuk menduduki kelompok enam pasukan terbaik walaupun Kelantan dilihat berpeluang untuk berada di kedudukan kedua atau menjadi juara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pengenalan jersi baharu The Red Warriors, tajaan Warriors semalam.
Liga Super musim ini bakal menyaksikan persaingan sengit apabila beberapa pasukan dilihat bertungkus-lumus mempersiapkan pasukan.
Antara pasukan yang menjadi pilihan untuk merangkul kejuaraan Liga Super musim ini ialah Johor Darul Ta'zim, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lions XII dan Terengganu.
Annuar memberitahu, tajaan yang diterima oleh KAFA dilihat cukup untuk menampung perbelanjaan persatuan bagi mengharungi musim ini.
Katanya, dia gembira kerana ramai yang mahu menaja The Red Warriors sehingga pihaknya terpaksa membuat pilihan untuk mengisi kuota.
"Jumlah RM8 juta yang diperlukan untuk menampung perbelanjaan pasukan berjaya dipenuhi hasil sumbangan daripada rakan-rakan penaja pada musim ini.
"Saya berterima kasih kepada semua penaja. Ini menguatkan lagi semangat para pemain Kelantan untuk memberikan persembahan terbaik musim ini," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, harga tiket untuk perlawanan The Red Warriors di Stadium Sultan Muhammad IV masih kekal sebagai tanda terima kasih persatuan kepada penyokong yang berdiri teguh di belakang pasukan selama ini.
Bagaimanapun, katanya, harga tiket bermusim mengalami sedikit kenaikan selaras dengan kemudahan disediakan oleh KAFA.-sumber



Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan