Luahan Hati Fizo Omar



TERPANCAR kegembiraan pada raut wajah Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo, 28, sepanjang berlangsungnya majlis resepsi perkahwinannya dengan Mawar Abdul Karim, 24, yang diadakan di kediaman keluarga Fizo di Taman Sri Jawa, Selising, Pasir Puteh, Kelantan, minggu lalu.
Majlis itu meriah apabila dihadiri lebih 15,000 jemputan yang sebahagian besarnya adalah peminat setia pelakon drama bersiri Cinderella itu.
Dalam persalinan merah jambu rona lembut, kedua-dua mempelai yang sama cantik sama padan itu mesra melayani para peminat.
Setelah melalui resepsi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta menikmati bulan madu di Eropah sejak diijabkabulkan 10 November lalu, majlis kesyukuran di Kelantan ini bagai dedikasi buat para peminat Fizo, apatah lagi peminat yang datang dari kampung halamannya sendiri di bumi Cik Siti Wan Kembang.
Fizo dan Mawar dirai dengan adat seni budaya Kelantan iaitu acara membangkitkan semangat kepahlawanan menerusi persembahan seni silat selain mereka kemudiannya disajikan dengan muzik gamelan Orkestra Seni Warisan Pauh Lima, Bachok dan dendangan lagu dikir kontemporari yang dipersembahkan oleh pendikir terkenal, Halim Yazid.
“Dua kepuasan yang terpahat di hati saya. Pertama, Mawar dan anggota keluarga berkesempatan berkongsi gembira dan berinteraksi bersama peminat selama dalam tempoh lima jam berlangsungnya kenduri di kampung kelahiran saya sendiri.
“Kedua, hasil titik peluh saya dalam industri lakonan juga berjaya dikongsikan bersama peminat Kelantan khususnya penduduk di Pasir Puteh dengan juadah kuih-muih termasuk memberi peluang jemputan menikmati keenakan Hot Burger yang diusahakan saya selama ini.





Selain itu, tetamu juga dapat menikmati jamuan nasi yang membabitkan 30 kawah gulai resipi Sri Jawa, Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas kenduri kesyukurannya yang diadakan bermula pukul 12 hingga pukul 5 petang.
Fizo berkata, dia berasa lebih gembira apabila berlakunya jalinan muhibah antara anggota keluarga isterinya dari Bukit Mertajam Pulau Pinang dan Melaka yang saling bertanya khabar dengan keluarganya di Kelantan sepanjang majlis yang berkonsepkan seni taman itu.
Dalam tempoh kira-kira satu jam di pelamin juga Fizo dan Mawar bukan sahaja meluangkan masa bergambar di hadapan lensa kamera media, sebaliknya turut memberi peluang kepada sanak saudara dan peminat untuk merakamkan gambar kenangan.
“Kenduri kesyukuran ini adalah sebahagian simbolik rasa kasih dan penghormatan saya kepada peminat yang banyak memberi sokongan khususnya penduduk setempat di seluruh pelosok kampung di Pasir Puteh.
“Ia membangkitkan kembali kenangan lampau apabila rakan sepermainan dalam pasukan bola sepak di Pekan Selising, rakan sekelas zaman persekolahan, guru dan pemimpin setempat turut diundang memeriahkan majlis ini.
“Sepanjang berlangsungnya majlis ini semua sudut dirakamkan menerusi rakaman kandid dan video sebagai koleksi kenangan yang paling bernilai dalam hidup saya. Kesemuanya adalah rakaman peristiwa yang perlu disimpan,” katanya.
Fizo turut menjelaskan, persiapan awal mengindahkan persekitaran tanah lapang dan persekitaran kediaman ibunya, Hasnah Jidin dengan persiapan landskap menarik serta penyediaan 10 ekor lembu untuk dikorbankan bagi menjayakan majlis itu dapat disempurnakan hanya dalam tempoh dua minggu sebelum menjelangnya tanggal indah yang menjadi nostalgia sepanjang perkongsian hidupnya dengan Mawar.
Ditanya mengenai tawaran terbaharu untuk berlakon dalam The Red Warrior The Movie, ujar Fizo, pada dasarnya dia memang berminat untuk menjayakan filem berkenaan kerana bola sepak adalah sebahagian acara sukan yang pernah diceburinya pada suatu ketika dahulu.




Apa pun, segala keputusan akan dibuat selepas selesainya pengurusan kenduri kesyukuran ini. Setakat ini saya berpuas hati dengan pencapaian lakonan yang saya anggap terbaik menerusi lakonan menerusi naskhah Cinderella sepanjang terbabit dalam industri lakonan,” katanya.
Mengenai bidang perniagaan yang membabitkan mereka, Fizo berkata, ia tidak menimbulkan sebarang masalah kerana masing-masing saling memahami termasuk Mawar yang memang memahami kariernya sebagai pelakon.
Pada masa yang sama, dia juga aktif mengusahakan perniagaan Hot Burger yang kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan remaja untuk menjalankan perniagaan secara francais.
“Sekali lagi saya rakamkan jutaan terima kasih kepada peminat yang bukan sahaja meminati drama lakonan saya, tetapi turut menjadi penyokong setia terhadap Hot Burger dan fesyen tudung Fareeda yang membabitkan isteri saya,” katanya.
Fizo bahkan berkata, seandainya dilimpahkan rezeki dengan ruang dan peluang untuk bersama peminat, majlis kegembiraan dan kesyukuran seumpamanya wajar diadakan lagi dengan resepsi yang berlainan demi niat ikhlas untuk meluangkan masa bersama peminat setia..-sumber




Share on Google Plus

About Kraiboys

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan