MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap insiden kekecohan yang berlaku ketika pertembungan Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team dalam saingan Piala FA di Stadium Larkin Sabtu lalu disiasat tanpa berat sebelah.

Menurutnya, insiden tersebut terlalu serius dan siasatan terperinci perlu dilakukan bagi memastikan tiada istilah pilih kasih dalam isu tersebut.

"Isu ini sangat serius malah ramai yang menyaksikan kejadian itu berlaku. Ia perlu disiasat sepenuhnya dengan telus, tanpa berat sebelah," kata Khairy menerusi laman mikro Twitternya semalam.

Perlawanan berkenaan terpaksa ditangguhkan selepas pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dilaporkan dikasari ketika menuju ke bilik persalinan.

Menerusi laman Facebook T-Team, kekecohan tersebut didakwa bermula apabila Goncalves ditumbuk pada hidung manakala Stefano ditendang.

Keadaan bertambah buruk apabila perlawanan pada babak kedua terpaksa ditangguhkan selepas pemain dan pegawai T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua dan terus pulang ke Kuala Terengganu kerana mendakwa keselamatan diri mereka terancam.

Sebelum insiden, JDT sedang mendahului 2-1 hasil jaringan Luciano Figueroa pada minit ke-16 dan 21 sementara jaringan The Titans pula dihadiahkan oleh kapten pasukan, Mohd. Marzuki Yusof pada minit ke-27
.-sumber